Showing posts with label Semasa. Show all posts
Showing posts with label Semasa. Show all posts

Tulang dijumpai di Gua Kandu sah tulang manusia - Polis

Polis mengesahkan serpihan tulang yang dijumpai di Gua Kandu, Gopeng, Perak pada Sabtu ialah tulang manusia.

Pengesahan awal itu adalah hasil bedah siasat terhadap serpihan tersebut di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata spesimen darah salah seorang ahli keluarga peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang sejak 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf Hassan, telah diambil untuk ujian Asid Deoksiribonukleik atau DNA.

“Serpihan tulang bersama spesimen darah tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya bagi tujuan perbandingan DNA.

“Keputusan ini dibuat untuk memperlihatkan perkaitan di antara penemuan tulang ini dengan kes kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau Acap memandangkan lokasi tulang ini dijumpai dalam radius atau lingkungan kawasan pencarian dan juga berhampiran dengan trek perlumbaan GUT 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di pejabatnya di Kampar pada Selasa.

Menurutnya, keputusan ujian DNA itu dijangka diketahui dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak polis akan berusaha untuk mendapatkan keputusan itu lebih awal daripada itu.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi mencari Mohammad Ashraf masih diteruskan oleh orang kampung dalam skala yang lebih kecil.

Sumber: Astro Awani

'Tak pelik isteri kenamaan rasmi kapal TLDM'

SHAH ALAM - Tiada yang pelik apabila isteri orang-orang kenamaan dipilih menjadi perasmi penamaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kerana ianya merupakan tradisi unik yang diamalkan seluruh dunia.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, oleh itu bukanlah menjadi suatu yang aneh apabila isteri kepada Menteri Pertahanan dipilih untuk menjadi perasmi dalam upacara berkenaan.

"Setiap kapal di dalam armada TLDM ada sejarahnya tersendiri, sejarah sebelum ini telah membuktikannya, misalnya, KD Laksamana Tan Pusmah ialah sebuah Kapal Penyerang Laju Korvet Kelas Assad yang dibina di Limbungan Fincantieri Marghera, Venice, Itali pada Februari 1982.

"Kapal ini telah dilancarkan oleh Datin Seri Kamariah Buang iaitu isteri kepada Panglima Tentera Laut pada masa itu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas penularan gambar isteri Menteri Pertahanan, Normah Alwi di Wuhan, China yang merasmikan LMS Keris iaitu kapal pertama LMS untuk TLDM.

Mengulas lanjut, Zaki berkata, malah pada 3 Disember 1994, Datin Seri Rosmah Mansor isteri kepada Menteri Pertahanan ketika itu, pernah merasmikan KD Lekiu.

"Penamaan dan pentauliahan KD Laksamana Muhammad Amin telah disempurnakan oleh Tunku Maziah Tunku Mustapha, iaitu isteri kepada Menteri Pertahanan 31 Julai 1999," katanya.

Jelasnya dalam tradisi asal botol minuman akan dipecahkan dalam kapal berkenaan.

"Kononnya kalau botol tu tak pecah, kapal tu bakal bernasib malang, dulu-dululah," katanya.

Sumber: Sinar Harian / MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Benar MPV diperiksa orang awam, ini tindakan dikenakan kepada polis tersebut

Anggota polis yang membenarkan kereta peronda polis (MPV) diperiksa orang awam di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, di Negeri Sembilan, Sabtu lalu akan dikenakan tindakan tatatertib.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata tindakan tegas itu akan dilaksanakan mengikut prosedur di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Tidak wajar membenarkan MPV diperiksa orang awam yang tidak mempunyai kuasa kerana mereka (anggota polis) boleh memohon bantuan jika keadaan mendesak berikutan petugas di sekitar kawasan pusat pengundian ketika itu seramai 1,100 orang.

“Kita ada pelbagai saluran seperti rakan setugas lain berhampiran atau balai berdekatan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), tidak timbul alasan membiarkan orang awam menghalang tugas penjawat awam bagi mengelakkan kekecohan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 1 kepada 331 penerima membabitkan pegawai dan anggota PDRM Kontinjen Melaka 2019 di Dewan Serbaguna IPK negeri, Bukit Beruang, di sini.

Mohamad Fuzi berkata demikian mengulas kejadian pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, 13 April lalu apabila lima lelaki dipercayai penyokong Pakatan Harapan (PH) bertindak memeriksa sebuah MPV polis di hadapan pusat mengundi di sekolah berkenaan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang ketika dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN terbabit.

Justeru, katanya, pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam isu berkenaan yang berkait dengan penguatkuasaan undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Fuzi berkata kertas siasatan terhadap lima orang awam yang direman berkait isu sama akan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan selanjutnya.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata 251 laporan polis diterima setakat pagi ini berhubung status dimuat naik pemilik Facebook yang menghina dan mencerca Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, katanya, belum ada sebarang tangkapan dilakukan, namun polis akan terus memburu pihak berkenaan.

Sumber: BH Online / Nurul Fhatihah Zakinan

'Tolong sedekahkan ayat Kursi untuk Acap malam ini'

GOPENG - "Saya minta sangat rakyat Malaysia tolong sedekahkan ayat Kursi untuk Mohammad Ashraf malam ini, sekali pun cukuplah," demikian permintaan ibu mangsa, Siti Maznah Khamis, 58.

Katanya, dia reda dengan dugaan yang diterima dengan kehilangan anak kelima daripada tujuh adik beradik itu sejak 25 hari lalu.

"Apa-apapun terserah kepada ALLAH SWT selepas kita berusaha berhempas pulas, meredah hutan belukar, menuruni sungai, melalui bukit, gua semua sekali.

"Cukup dah, kami rasa usaha itu sangat-sangat besar untuk mencari anak saya. Di mana noktahnya itu hanya ALLAH yang tahu, kita memang tiada daya dan tidak tahu noktahnya di mana dan kita akan terus berdoa," katanya ketika ditemui pada lawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ke Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang di sini, hari ini.

Siti Maznah berkata, keluarganya tidak melupakan usaha sukarelawan di setiap pelosok negara yang turut serta dalam pencarian itu.

"Untuk pejuang dan sukarelawan yang mencari yang kata tidak didendang, saya doakan untuk terus tabah dan bertahan dalam usaha mencari Acap.

"Saya juga mengucapkan terima kasih, tidak terbalas saya dan keluarga atas jasa kepada semua yang susah payah turun melihat dan menyelesaikan keadaan dan meneruskan usaha ini," katanya.

Katanya, dia turut menafikan dakwaan kononnya anaknya itu pernah hilang semasa menyertai aktiviti lasak sebelum ini.

"Acap tidak pernah hilang, dia sentiasa ada cerita-cerita yang menarik dan cerita yang baik-baik selama dia mengikuti semua sekali aktiviti.

"Baik di Lombok, Indonesia atau Sabah dan dekat mana-mana pun, dia memang baik dan memang suka cerita dan gembira. Bila balik (mendaki) tiada yang cerita sedih," katanya.

Sumber: Sinar Harian / NOOR AINON MOHAMED

Suami isteri ditemui maut dalam bilik sewa

TASEK GELUGOR - Sepasang suami isteri ditemui mati dalam bilik sewa mereka di sebuah rumah di Jalan Pokok Machang, di sini.

Mayat pasangan itu ditemui oleh pemilik rumah tersebut kira-kira jam 9.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemilik rumah berkenaan telah mengetuk pintu bilik pasangan itu selepas mendapati motosikal mereka masih berada di hadapan kediaman tersebut.

Menurutnya, mayat wanita berusia 27 tahun itu ditemui di atas katil manakala suaminya yang berusia 31 tahun berada dalam keadaan tergantung pada alang rumah di bilik sewa mereka.

"Pemilik rumah berkenaan bertindak mengetuk pintu bilik pasangan itu selepas menyedari motosikal mereka masih berada di hadapan rumahnya. Sepatutnya pada waktu itu, pasangan itu telah keluar bekerja.

"Siasatan awal mendapati, wanita itu meninggal dunia dipercayai meminum racun," katanya kepada media di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati, pasangan itu mengalami masalah kewangan dan peribadi.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, DM Nirmala, 30, berkata, pasangan yang tidak mempunyai anak itu telah menyewa di rumahnya sejak sebulan lalu.

Menurutnya, lelaki tersebut bekerja sebagai kelindan lori manakala isterinya bekerja sebagai operator kilang di kawasan berhampiran.

"Pagi tadi, dalam jam 9 pagi, saya baru balik dari tempat kerja. Saya hairan tengok motosikal mereka masih ada depan rumah. Biasanya pagi-pagi mereka dah pergi kerja.

"Saya rasa tak sedap hati, lepas tu ketuk pintu bilik tapi tak dibuka. Saya cuba buka dan tengok bilik tak berkunci. Saya nampak si isteri terbaring atas katil, suami dia pula tergantung pada alang," katanya.

Dia berkata, setelah mendapati kedua-duanya sudah tidak bernyawa, dia menghubungi polis untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut.

"Mereka berasal dari Perak. Adik lelaki itu yang berusia 21 tahun pun tinggal dengan mereka. Mereka tak ada anak walaupun dah lima tahun kahwin. Sebelum kejadian, mereka tak ada tunjukkan apa-apa perubahan pun.

"Cuma si isteri terlalu cemburu dan saya pernah terdengar mereka bertengkar pasal isu duit dan cemburu. Mereka juga pernah gaduh sebab si isteri tuduh suaminya ada hubungan dengan saya," katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, siasatan di tempat kejadian dan pada kedua-dua mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan masih dijalankan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat," katanya.

Sumber: Sinar Harian / SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

PERMATA dijenamakan semula dengan nama baharu Genius

NILAI: Program Permata Negara (PERMATA) dijenamakan semula dengan diberi nama baharu, Genius, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, Kabinet membuat keputusan itu untuk menjadikannya lebih berdaya saing dan bersemangat tinggi.

“Walaupun fungsi dan peranannya sama, ada beberapa program di bawahnya akan dipertingkatkan dari segi kualiti.

“Kabinet membuat keputusan ini untuk penjenamaan semula supaya ia lebih berdaya saing dan bersemangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka, di sini.

Sementara itu, Maszlee berkata, Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta dilaksanakan secara rintis di SMK Bekok, Segamat, mulai 2017 membabitkan pengambilan 30 murid dan diikuti 24 lagi pada tahun lalu.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu di SMK Desa Cempaka menggunakan model rakan strategi dengan pengambilan murid tahfiz swasta daripada Maahad Tahfiz Al-Quran An Najihah, Kampung Jijan, di sini.

“Pendekatan strategik ini akan membawa dimensi baharu dalam arus pendidikan negara bagi memberi ruang murid tahfiz mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara formal yang lebih sistematik di sekolah Kementerian Pendidikan untuk persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata, kementerian menyambut baik saranan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, supaya sekolah berusia melebihi 15 tahun perlu melakukan audit keselamatan setiap tahun.

“Ia adalah cadangan yang baik dan kami akan mempertimbangkannya,” katanya.

Sumber: BH Online / Azzman Abdul Jamal

"Makilah, hamunlah..." - Lan Pet Pet mahu jumpa Yahya sebab...

Pelawak, Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet mahu mencari masa sesuai untuk bersemuka dan memohon maaf daripada pengawal keselamatan, Yahya Manap, 68, yang dikasari dalam insiden mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.

Mengaku kesalahan dibuat, Mazlan, 49, sanggup berhadapan Yahya dan menerima apa sahaja reaksi pengawal keselamatan itu.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf daripada Yahya dan keluarga. Saya ikhlas dan sanggup berhadapan apa sahaja... Saya silap dan bodoh ketika itu.

“Saya sanggup berhadapan Yahya dan keluarganya. Apa yang lebih penting, saya dapat bertemu, meleraikan kekusutan dan memohon maaf.

“Selebihnya terserahlah kepada Yahya... Saya terima dengan hati terbuka,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, anggota kumpulan lawak, Senario itu didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul pengawal keselamatan berkenaan.

Lan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof.

Mazlan mengaku melakukan kesalahan itu di Acacia Park Desa Jati, Nilai, pada 6 April lalu. Pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu kemudian membayar denda, tengah hari tadi.

Mazlan berkata, dia tidak menjangka insiden itu berlaku dan pantas viral.

“Saya tidak sengaja bertindak sedemikian. Saya hanya manusia biasa, tidak lepas daripada melakukan kesilapan,” katanya.

Mazlan berkata, dia menghormati Yahya seperti ayahnya.

“Bagaimanapun, salah faham yang berlaku membuatkan saya tidak sengaja bertindak di luar batasan.

“Apa yang berlaku, biarlah saya simpan dalam hati. Saya belum bersedia mahu berkongsi, berikan saya tempoh untuk bertenang dahulu.

“Ketika ini, fikiran saya serabut, banyak urusan yang kena selesaikan... Saya perlukan masa.

“Saya berjanji akan meleraikan kekusutan ini dengan segera. Keluarga dan rakan baik juga menasihatkan saya bertemu dengan Yahya,” katanya.

Pelawak kelahiran Kedah itu berkata, dia banyak belajar daripada kesilapan itu.

“Saya berjanji kesilapan yang sama tidak akan berulang dalam hidup saya. Makilah, hamunlah... Saya terima dengan reda.

“Saya mohon maaf dengan hati yang ikhlas,” katanya.


Sumber: Berita Harian / Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Tular kes pelancong asing buang air tepi pantai, ini respons polis PD

PORT DICKSON - Polis daerah ini memandang berat maklumat yang tular di media sosial mengenai perbuatan seorang pelancong asing wanita didakwa buang air besar di pantai Batu 5 di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed (gambar) berkata, perbuatan itu jika benar berlaku merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

"Kami maklum mengenai maklumat yang tular tersebut, tetapi tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung insiden itu setakat ini.

"Kami minta sesiapa yang mempunyai maklumat supaya tampil menyalurkannya kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini.

Aidi Sham berkata, orang ramai yang berkunjung ke Port Dickson diminta menghormati sensitiviti masyarakat setempat dan menjaga kebersihan daerah ini.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang melihat berlaku perlakuan tidak senonoh di Port Dickson supaya segera melaporkannya kepada pihak polis untuk diambil tindakan.

Kelmarin, seorang pengguna Facebook memuat naik gambar didakwa memaparkan seorang pelancong asing wanita didakwa dari China buang air besar di pantai Batu 5.

Gambar itu menerima kecaman netizen Malaysia yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai menjijikkan dan tidak menghormati pengunjung lain pantai tersebut.

Sumber - Kosmo ONLINE
Gambar fail, Kredit Utusan Online

TERKINI: Keluarga minta sukarelawan henti misi cari Acap

Keluarga kepada peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan yang hilang sejak 22 hari lepas meminta sukarelawan menghentikan misi mencari lelaki itu.

Sehubungan itu, abang mangsa, Mohammad Azlan yang mewakili keluarganya telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Balai Polis Gopeng, semalam.

Dalam laporan polisnya yang tular di media sosial, Mohammad Azlan memohon orang awam dan mana-mana sukarelawan yang ingin menjalankan misi mencari adiknya berhenti datang serta masuk ke kawasan kampung tempat mangsa hilang.

"Saya telah bincang dengan pihak ketua Kampung Pintu Padang dan saya perlu membuat satu laporan polis. Saya turut meminta agar sebarang spekulasi dan berita-berita tidak benar tentang kehilangan adik saya ini turut dihentikan," katanya.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis serta kandungan laporan yang tular dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Mohammad Ashraf, 29, atau lebih dikenali dengan panggilan Acap dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan memulakan larian GUT 2019 dari Gua Tempurung dekat Gopeng bagi kategori 25km pada 23 Mac, namun mangsa tidak sampai ke garis penamat selepas selesai perlumbaan.

Sumber - Bernama

"Pakcik kena bedal sampai..." - Lan Pet Pet didenda RM2k, tapi ini respons Pak Yahya

Pengawal keselamatan Acacia Park Desa Jati, Yahya Manap, 68, tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah mengenakan denda sebanyak RM2,000 keatas pelawak terkenal Lan Pet Pet kerana memukulnya pada 6 April lalu.

Warga emas itu berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu denda yang dikenakan keatas Lan Pet Pet atau nama sebenar, Mazlan Ahmad, 49, itu kerana kecederaan yang dialaminya dalam kejadian tersebut agak teruk.

"Denda cuma RM2,000. Pakcik yang kena bedal ini apa cerita. Pinggang masih sakit sampai sekarang akibat ditendang. Maruah pakcik yang tercemar apabila dia cakap persatuan penduduk ambil pengawal bodoh bagaimana pula?

"Pakcik kena bedal sampai diberi cuti sakit (MC) selama tiga hari kemudian terpaksa sambung cuti lima hari lagi," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Yahya berkata, dia dan keluarganya dalam proses melantik peguam bagi mengemukakan saman malu keatas Lan Pet Pet dan jika diikutkan hatinya mahu menyaman pelakon tersebut sebanyak RM3 juta.

Bagaimanapun, katanya, dia menyerahkan urusan saman itu kepada peguam yang telah dipilih oleh menantunya.

Sumber - Kosmo ONLINE

Dua lelaki warga asing maut dilanggar tren komuter

KL: Dua lelaki dipercayai warga asing maut selepas dilanggar tren Komuter berhampiran laluan Sungai Buloh - Kepong dekat sini petang semalam.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian pukul 6 petang itu, kedua-dua mangsa  dipercayai menceroboh laluan Komuter sebagai jalan pintas untuk ke kawasan berhampiran.

"Ketika kejadian, tren Komuter itu membawa 30 penumpang dalam perjalanan ke Stesen Kepong dari Stesen Sungai Buloh.

"Pemandu bertindak memberhentikan tren Komuter selepas ternampak kelibat mangsa yang terpelanting pada bahu landasan," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak polis telah dimaklumkan berhubung kejadian tersebut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang di sini untuk dibedah siasat.

"Pihak KTMB telah menyediakan tren Komuter gantian bagi membolehkan semua penumpang menyambung perjalanan mereka ke destinasi masing-masing," katanya.

Sumber - Kosmo ONLINE / Gambar Hiasan

Lelaki, bekas kekasih ditemui mati dalam kereta selepas tertidur

KOTA KINABALU: Beberapa pengunjung gempar seketika dengan penemuan lelaki dan wanita yang  ditemui 'kaku' di dalam kenderaan di parkir tingkat tiga, sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira  jam 3 pagi itu, mangsa lelaki bersama seorang wanita yang dipercayai bekas kekasihnya ditemui di tempat duduk hadapan kenderaan Perodua Kenari dengan keadaan tidak sedarkan diri.

Kedua-dua mangsa, masing berusia 23 dan 20 tahun itu, difahamkan meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida selepas tertidur dalam kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang terlihat keadaan kereta tersebut dalam keadaan mencurigakan sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk membuat siasatan.

"Siasatan polis mendapati kedua mangsa tertidur dalam kenderaan pada masa dan haribulan tidak pasti sehingga dijumpai pada pagi hari ini.

"Mereka disyaki meninggal dunia kerana kekurangan oksigen dalam kenderaan semasa kedua mangsa tertidur.

“Pada jam 5.11 pagi, pegawai perubatan daripada Hospital Likas telah mengesahkan kedua-dua mangsa tersebut telah mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Pihak polis membuat pemeriksaan badan kedua-dua mangsa tersebut tidak menunjukkan berlakunya sebarang tanda-tanda unsur jenayah dikaitkan  sebagai punca kematian mangsa.

"Kes ini disiasat sebagai kematian mengejut (SDR),"  katanya.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengamalkan tabiat tidur dalam kenderaan dengan enjin yang tidak dimatikan atau kenderaan tidak bergerak bagi mengelakkan risiko kematian.

Sumber: Ruzaini Zulkepli, Astro Awani

(Video) MasyaAllah...Fenomena ganjil pokok petai 'menangis' seperti air hujan

KOTA BHARU: Penduduk Kampung Petani, Sering, di sini kebingungan apabila sepohon pokok petai mengeluarkan air jernih dari daunnya setiap malam sejak hampir dua minggu lalu.

Walaupun cuaca baik dan tidak hujan, namun pokok petai berkenaan mengeluarkan air seperti air hujan pada sebelah malam bermula selepas Maghrib hingga Subuh.

Fenomena ganjil ini menyebabkan penduduk kampung termasuk penduduk dari kampung berdekatan datang dan membawa baldi bagi manadah air berkenaan.

Menurut salah seorang penduduk kampung, Khaidin Razali, air yang dikeluarkan dari dedaunan petai ini bersifat jernih dan berbau buah petai.

“Pokok berkenaan terletak di hadapan sebuah rumah penduduk dengan ketinggian melepasi tiang elektrik dan tidak pernah berbuah, namun sejak hampir dua minggu daun pokok petai ini mengeluarkan air seperti air hujan,” katanya di sini.

Sejak beberapa hari ini ramai pengunjung yang datang menadah air dari dedaun petai ini bahkan kawasan kampung ini seolah-olah seperti pesta hampir setiap malam.

“Ada pengunjung yang menadah dan mengambil air dari dedaun pokok petai ini untuk dibuat ubat,” katanya.

Sementara itu salah seorang pengunjung, Yusri Ibrahim, beliau mengetahui cerita mengenai pokok petai ini sejak beberapa hari lalu dari rakannya.

“Saya datang dari Kota Bharu dan sampai di sini dan apabila melihat dedaun mengeluarkan air seperti air hujan ini, saya pelik memikirkan bagaimana ianya berlaku sedangkan cuaca di sekeliling baik da tidak hujan” katanya.

Beliau mengakui sukar mempercayai fenomena ini kerana tidak pernah berlaku daun petai mengeluarkan air jernih seperti air hujan pada sebelah malam.

Namun beliau tidak pasti sama ada air dari daun petai ini mempunyai nilai perubatan atau mampu menyembuhkan penyakit kerana kejadian ganjil ini baru pertama kali disaksikannya.

Sumber: Vivi Sumanti, Astro Awani
Gambar: Astro Awani, Kosmo

Tiga pelajar Tunas Bakti mengaku lakukan amang seksual, pukul penghuni lain

MELAKA - Tiga pelajar Tunas Bakti di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan amang seksual fizikal serta mencederakan seorang penghuni lain pada minggu lalu.

Tertuduh, dua daripadanya masing-masing berumur 17 dan seorang berumur 16 tahun, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 25 April depan untuk keputusan hukuman bagi menunggu laporan akhlak terhadap ketiga-tiga tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Mengikut pertuduhan pertama, seorang tertuduh berumur 17 tahun itu didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang penghuni Tunas Bakti berumur 15 tahun kira-kira pukul 10 malam di Asrama Mutiara, Sekolah Tunas Bakti, Batang Tiga pada 19 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Dalam pertuduh kedua, tertuduh sama dan dua lagi rakannya berumur 16 dan 17 tahun didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama dengan cara menendang serta menampar muka remaja itu pada waktu, tempat dan tarikh sama.

Bagi tindakan itu, ketiga-tiga mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM4, 000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari membantah sebarang jaminan kerana bimbang akan keselamatan mangsa memandangkan sekolah itu tidak mempunyai bilik pengasingan bagi kelas serta asrama.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 25 April depan sebagai sebutan semula kes serta keputusan hukuman. Ketiga-tiga pelajar itu kemudian dihantar ke Penjara Sungai Udang, di sini.

Sumber - KOSMO ONLINE / DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

Atlet julang nama negara kini jual jambu selepas MSN tamat kontrak

Shukor Farhan Suliman (kanan) dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy (kiri)
Bekas atlet negara yang dahulunya dijulang sebagai penyumbang pingat emas negara di Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur kini hidup terumbang-ambing selepas kontraknya ditamatkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Shukor Farhan Suliman, 23 berkata, keputusan MSN itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan kerjaya sebagai atlet kebangsaan, sebaliknya terpaksa meneruskan kehidupan dengan menjual buah jambu dan terlibat dalam perniagaan gunting rambut.

“Saya bersara bukannya disebabkan kerelaan hati kerana masih ada keinginan mahu berjuang untuk negara, tetapi mungkin rezeki sebagai atlet kebangsaan hanya sampai pada tahun lepas sahaja kerana kontrak tidak disambung.

“Selepas bersara saya ada menjalankan perniagaan. Saya ada kedai gunting rambut dan baru hendak berniaga menjual jambu,” katanya ketika ditemui FMT, di TTDI Jaya, Shah Alam.

Shukor berkata, MSN memberikan 2 sebab kepadanya untuk tidak meneruskan kontrak sebagai atlet, iaitu kegagalan mencapai sebarang pingat dalam Sukan Para Asia 2018 dan masalah disiplin.

“Saya gagal di Sukan Para Asia di Jakarta tahun lalu. Saya mengaku gagal. Hal ini kerana saingan saya adalah juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik dari negara China dan Jepun. Tetapi, bab disiplin ini saya tidak jelas.
Shukor Farhan sewaktu memenangi pingat emas dalam Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur.

“MSN kata mereka ada rekod disiplin, tetapi saya tidak pernah lihatpun. Apakah saya tidak serius sewaktu latihan? Sebagai atlet kita hendak berjaya dan sentiasa bersungguh-sungguh sewaktu latihan,” katanya.

Jelas Shukor, beliau tidak menjangkakan akan bersara pada usia yang sangat muda kerana percaya masih mempunyai kudrat untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Saya menyasarkan untuk jangka masa panjang dalam bidang sukan, memang minat saya ke arah itu. Memang saya tidak jangka umur 22 tahun sudah bersara, sedangkan sudah mewakili negara seawal usia 17 tahun,” katanya.

Tambah Shukor, beliau akui termakan dengan janji manis MSN sehingga memutuskan untuk tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana mahu fokus kepada Sukan Para Asia di Korea Selatan.

“Mula-mula masuk MSN saya dijanjikan dengan bulan dan bintang. Masa saya umur 17 tahun jurulatih nasihatkan tidak ambil SPM kerana waktu peperiksaan sangat dekat dengan kejohanan peringkat Sukan Asia dahulu.

Mengulas mengenai perniagannya sekarang, Shukor berkata beliau kini selesa dengan kehidupan barunya sebagai orang biasa, tanpa sebarang publisiti media.

Shukor yang bakal menyambut cahaya mata pertama pada Februari depan mengaku masih bergelut dengan kekangan kewangan selepas ditamatkan kontrak oleh MSN.

Jelasnya, kerjaya sebagai atlet merupakan pekerjaan yang berisiko tinggi kerana setiap kecederaan yang dihadapi merupakan mimpi ngeri yang boleh menyebabkan kerjaya itu tamat.

Seorang lagi atlet paralimpik dalam acara berbasikal Mohd Nur Syafiq Suhaimy, 27 juga kecewa dengan tindakan MSN menamatkan kontraknya dengan alasan sudah tidak mampu mengayuh basikal.

Ia selepas Nur Syafiq mengalami patah kaki kanan akibat kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pada September 2017, iaitu sehari sebelum Sukan Para Asean di Kuala Lumpur bermula.

“Kontrak saya tidak disambung atas alasan kaki patah kerana kemalangan. Mereka (MSN) kata saya sudan tidak boleh “perform”. Mana janji MSN dahulu yang mereka tabur, kononnya hendak berikan pekerjaan, kini semua hanya tinggal janji.

“Apabila tamat kontrak habis macam tu sahajalah, tidak ada pampasan, pencen atau sebagainya. Saya sendiri tidak boleh kata apa-apa. Apa yang mereka lakukan saya malas hendak bantah,” katanya.

Nur Syafiq berkata, beliau ketika ini membantu Shukor menguruskan gerai buah jambu dan akan melakukan apa sahaja demi mendapatkan rezeki halal.

“Kalau hendak minta kerja di agensi kerajaan memang sudah tidak boleh, jangan mimpilah. Jadi saya buat apa sahaja yang boleh asalkan dapat meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur.

Nur Syafiq berkata, beliau dan Shukor merupakan 2 daripada 5 atlet kebangsaan yang tidak disambung kontrak oleh MSN dan menyifatkan ia perkara luar biasa apabila begitu banyak yang tidak disambung kontrak.

“Jika seramai 5 atlet tidak disambung kontrak, adakah ia masih kesalahan atlet itu sendiri. Seharusnya lihat skop lebih besar apakah punca kegagalan atlet,” katanya.

Sumber: FMT / Adam Abu Bakar

Awas! Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar boleh bawa maut

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengeluarkan perintah larangan penjualan tiga jenis suplemen – Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar – yang didakwa dikeluarkan syarikat Sri Saga Marketing Sdn Bhd.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan hasil pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan ke atas produk-produk berkenaan mengandungi steroid terlarang di bawah Akta Makanan yang hanya digunakan untuk rawatan masalah pembengkakan dan radang yang serius.

"Hasil analisis turut mengesahkan ada di antara produk berkenaan mengandungi dexamethasone dan prenidsolone yang merupakan bahan steroid yang boleh mengakibatkan kesan sampingan serius.

"Antaranya termasuk kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, peningkatan risiko jangkitan dan katarak.

Beliau turut mengarahkan peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyak stok produk tersebut agar menghentikan serta-merta penjualan semua produk dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk tujuan penyitaan.

Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk ini adalah disarankan supaya segera mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli professional kesihatan.

Pengguna yang telah mengambil produk ini untuk jangka masa yang lama digesa supaya tidak memberhentikan penggunaannya secara mendadak dan mendapatkan nasihat serta rawatan serta-merta.

Ini untuk mengelakkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan akibat ‘withdrawal syndrome’.

Baru-baru ini, seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an dilaporkan meninggal dunia selepas mengambil suplemen itu secara berterusan selama enam bulan.

Wanita yang berasal dari Singapura itu dilaporkan mengadu mengalami sesak nafas dan sakit di bahagian belakang sebelum dikejarkan ke hospital.

Sumber AA

Ibu maut, anak kritikal dalam bilik hotel

GEORGE TOWN - Seorang wanita ditemui mati manakala anak lelakinya berusia 10 tahun dalam keadaan kritikal dipercayai akibat dadah di sebuah hotel, di Jalan Macalister, di sini hari ini.

Lim Bee Tin, 28, dan anak lelakinya Ong Chee Khai, 10, ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik pada pukul 3.30 petang apabila seorang pekerja hotel memecahkan pintu bilik yang dihuni wanita itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, berdasarkan keterangan pihak hotel, wanita yang berasal dari Ayer Itam, di sini dan anaknya itu mendaftar masuk pada pukul 11 pagi semalam dan sepatutnya keluar pada pukul 12 tengah hari ini.

"Bagaimanapun sehingga pukul 2 petang wanita yang bekerja sebagai jurujual itu tidak mendaftar keluar menyebabkan pekerja hotel memanggil wanita itu dibiliknya namun tiada jawapan.

"Apabila tiada jawapan, pekerja hotel memecahkan pintu bilik dan mendapati dua beranak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil. Tiada sebarang kesan kecederaan," katanya di sini.

Che Zaimani berkata pihak hotel menghubungi ambulans dan pasukan perubatan mendapati wanita itu telah mati manakala anaknya masih hidup namun dalam keadaan kritikal. Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam bilik hotel itu menemui sisa kayu arang yang dipercayai dibakar dengan sejenis dadah oleh wanita itu dan bilik itu berbau asap.

"Dari kesan arang yang dijumpai, kemungkinan mangsa membakar sejenis dadah dan terlebih dos... walaubagaimanapun ia akan tentukan melalui ujian kimia dan bedah siasat," katanya. - Bernama

Sumber Kosmo

'Pakatan jahat' akhirnya terbongkar...

MUSLIHAT kerani akaun membuat laporan polis mendakwa dirinya disamun dua lelaki terbongkar apabila dia rupa-rupanya berpakat dengan rakannya untuk melarikan wang berjumlah RM24,000 milik syarikat tempatnya bekerja.

Suspek berusia 21 tahun sebelum itu hadir ke balai polis untuk membuat laporan kononnya cermin keretanya di tempat duduk penumpang hadapan dipecah dua lelaki bersenjata tukul yang menaiki sebuah motosikal pada 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek memaklumkan dia diekori dua lelaki selepas mengeluarkan wang milik syarikatnya di sebuah bank di Juru.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian mendakwa dua lelaki itu bertindak memecahkan cermin kereta yang dipandunya di kawasan berhampiran.

“Suspek memaklumkan wang berjumlah RM24,000 yang dikeluarkannya itu kemudian dilarikan dua lelaki berkenaan.

“Dia (suspek) yang terkejut dengan kejadian itu tidak dapat berbuat apa-apa, malah mendakwa tidak sempat mengecam identiti dan nombor plat motosikal yang ditunggang kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati kejadian itu adalah palsu lalu menyerbu sebuah rumah di Taman Kempas, Kulim, Kedah untuk menahan suspek yang membuat laporan berkenaan pada 9 malam semalam.

“Suspek mengaku dia dan dua rakannya berpakat untuk melarikan wang itu dengan mengadakan cerita disamun serta membuat laporan polis palsu.

“Polis kemudian membuat tangkapan ke atas rakan suspek berusia 26 tahun di Taman Impian Indah pada 12.05 tengah malam (hari ini).

“Manakala, suspek ketiga berusia 27 tahun yang menyembunyikan wang itu pula ditahan 30 minit kemudian tidak jauh dari lokasi suspek kedua ditahan,” katanya.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas semula wang tunai yang dilarikan ketiga-suspek termasuk dua buah kereta.

“Ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber HM

Guna balik straw terpakai

Kuala Lumpur: Segelintir pengusaha restoran di negara ini dikesan mengitar semula straw plastik yang digunakan pelanggan untuk menjimatkan kos walaupun tahap kebersihannya diragukan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada pengguna yang tidak berpuas hati dengan sikap ambil mudah segelintir pengusaha restoran berkenaan.

Beliau berkata, pengguna mendakwa perbuatan pengusaha restoran berkenaan bukan saja mengabaikan aspek kebersihan, malah menipu pelanggan.

Menurutnya, straw plastik berkenaan dikumpul, dibasuh dan dikeringkan sebelum digunakan semula ketika menghidangkan minuman kepada pelanggan.

Nadzim berkata, perbuatan seperti itu tidak boleh diterima sama sekali kerana straw plastik berkenaan sudah dianggap sebagai sampah meskipun hanya disedut beberapa kali atau tidak digunakan langsung.

“Kami terima aduan mengenai perkara ini beberapa bulan lalu. Ada pengguna nampak straw plastik berkenaan dibasuh pekerja restoran dalam jumlah yang banyak.

“Ada juga yang salurkan maklumat kepada kami mengenai tindakan sebegini yang dilakukan pengusaha dan pemilik restoran,” katanya.

Berikutan itu, PPIM menyambut baik cadangan kerajaan memperkenalkan straw mesra alam namun ia perlu diperhalusi sebaik mungkin agar tiada pihak teraniaya.

Katanya, PPIM menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang mahu cadangan itu diselaraskan dengan cara pelaksanaan terbaik bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan juga pengusaha.

“Mana yang elok kami sokong, tetapi perlu juga lihat aspek lain seperti kemampuan peniaga dan kos, jika straw baru diperkenalkan. Bukan semata-mata kenakan denda kalau ada peniaga gagal patuhi arahan itu,” katanya.

Akhbar ini Sabtu lalu melaporkan, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, larangan penggunaan straw itu dikuatkuasakan pada 1 Januari 2020.

Sumber Metro

Takziah. Rupanya Ini Punca Kematian Pak Ngah, Innalillah

Innalillahiwainnailaihirojiun
KUALA LUMPUR - Pejuang lagu Irama Malaysia yang juga komposer terkenal tanah air, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ngah, meninggal dunia akibat kegagalan jantung di Tanjung Pinang, Batam, Indonesia pada pukul 3.15 petang hari ini.

Perkara itu disahkan oleh sumber terdekat daripada Pak Ngah Production, Abdul Rahman Mahadi ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

"Pak Ngah bertolak ke Batam pada Jumaat lepas atas urusan kerja dan Allahyarham ada mengadu tidak sedap badan pada malam Maghrib pada hari yang sama dan kemudian dihantar ke hospital.

"Setelah berada di sana, Allahyarham disahkan mempunyai kegagalan jantung dan kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bermula Jumaat hingga semalam," katanya.

Menurutnya, semasa dalam penerbangan balik, keadaan Pak Ngah sudah tidak stabil dan diarahkan oleh pasukan perubatan untuk berpatah balik ke Batam.

"Sepatutnya (saya) ambil beliau hari ini untuk hantar ke Hospital Tawakal KPJ, Kuala Lumpur, tetapi dimaklumkan beliau sudah tiada," katanya lagi.

Difahamkan jenazah akan dibawa dari Batam melalui feri pada pukul 8.00 pagi esok dan akan dikebumikan berhampiran kediamannya di Setapak di sini.

Pak Ngah meninggalkan seorang isteri, Datin Sharifah Mahani Syed Kasim dan seorang anak lelaki dan perempuan.

Nama Pak Ngah sudah tidak asing lagi dalam dunia hiburan terutama melalui penciptaan lagu-lagu Irama Malaysia dan pernah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai komposer dan penulis lirik pertama yang layak dalam kategori Irama Malaysia apabila tiga lagunya dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu 1999. - Bernama

Sumber Kosmo