Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

'Tak pelik isteri kenamaan rasmi kapal TLDM'

SHAH ALAM - Tiada yang pelik apabila isteri orang-orang kenamaan dipilih menjadi perasmi penamaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kerana ianya merupakan tradisi unik yang diamalkan seluruh dunia.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, oleh itu bukanlah menjadi suatu yang aneh apabila isteri kepada Menteri Pertahanan dipilih untuk menjadi perasmi dalam upacara berkenaan.

"Setiap kapal di dalam armada TLDM ada sejarahnya tersendiri, sejarah sebelum ini telah membuktikannya, misalnya, KD Laksamana Tan Pusmah ialah sebuah Kapal Penyerang Laju Korvet Kelas Assad yang dibina di Limbungan Fincantieri Marghera, Venice, Itali pada Februari 1982.

"Kapal ini telah dilancarkan oleh Datin Seri Kamariah Buang iaitu isteri kepada Panglima Tentera Laut pada masa itu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas penularan gambar isteri Menteri Pertahanan, Normah Alwi di Wuhan, China yang merasmikan LMS Keris iaitu kapal pertama LMS untuk TLDM.

Mengulas lanjut, Zaki berkata, malah pada 3 Disember 1994, Datin Seri Rosmah Mansor isteri kepada Menteri Pertahanan ketika itu, pernah merasmikan KD Lekiu.

"Penamaan dan pentauliahan KD Laksamana Muhammad Amin telah disempurnakan oleh Tunku Maziah Tunku Mustapha, iaitu isteri kepada Menteri Pertahanan 31 Julai 1999," katanya.

Jelasnya dalam tradisi asal botol minuman akan dipecahkan dalam kapal berkenaan.

"Kononnya kalau botol tu tak pecah, kapal tu bakal bernasib malang, dulu-dululah," katanya.

Sumber: Sinar Harian / MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Respons polis bila tular video sekumpulan lelaki tahan, periksa kereta anggota

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan penyokong dipercayai daripada PH menahan dan memeriksa MPV polis 

Polis sedang memburu lima lelaki dipercayai penyokong Pakatan Harapan (PH) yang bertindak menahan dan memeriksa kereta peronda (MPV) polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, Rembau.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, polis telah mengenal pasti lima lelaki terbabit berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial serta laporan yang dibuat oleh anggota polis terlibat.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang semasa dua anggota polis masing-masing berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

"Semasa berada di tempat kejadian kenderaan MPV polis dinaiki mereka didatangi oleh lima lelaki yang meminta supaya membuka but kerana disyaki membawa kertas lebihan undi.

"Anggota polis terlibat bersetuju untuk membuka bonet kerana tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan dan dalam keadaan terpaksa telah membuka bonet bagi memuaskan hati mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dekat sini.

Mohamad berkata, kelima-lima lelaki itu kemudian mendapati tiada sebarang kertas lebihan undi dalam bonet MPV polis tersebut dan memohon maaf kepada anggota polis terlibat.

Menurutnya, beliau berasa kesal dengan insiden berkenaan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Pihak polis bukan sengaja tidak bertindak keatas mereka ketika kejadian, tetapi kami tidak mahu keadaan menjadi kecoh kerana ketika itu mereka ramai," katanya.

Sumber - Kosmo ONLINE

"Jika kami gagal tunaikan janji..." - Syed Saddiq bersuara!

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan Pakatan Harapan (PH) sanggup dibuang seandainya PH gagal memenuhi manifesto mereka selepas dipilih sebagai kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kalau Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rafizi Ramli, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali termasuk saya gagal menunaikan janji, buanglah kami dan pilihlah BN,” kata Syed Saddiq ketika sesi acara 'Sinar Debat bersama Exco Pemuda UMNO'.

Syed Saddiq berkongsi pentas dengan Exco Pemuda UMNO, Rahman Hussin dalam forum anjuran Sinar Harian diadakan di ibu pejabatnya di Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Menurut Syed Saddiq, PH perlu diberi peluang demi masa depan yang baharu.

Ujar beliau, rakyat berkuasa untuk membawa perubahan kerana walaupun negara ditadbir oleh BN lebih 60 tahun, parti itu adalah tidak sama seperti dahulu.

Menurutnya, PH juga akan membebaskan media dan mana-mana kerajaan tidak kira daripada PH, BN atau Pas yang bersikap adil perlu sedia dikritik secara terbuka bagi mengembalikan kuasa kepada rakyat.

Dalam sesi debat tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub turut melancarkan 'Dana Amanah Sinar Harian Untuk Belia Dalam Politik' bagi menggalakkan golongan muda bawah 30 tahun aktif dalam politik.

Sumber: Zaim Ibrahim, Astro Awani

Hisham Tak Setuju Umno Boikot PRK PD. Ini Sebabnya!

JOHOR BAHRU – Keputusan Umno tidak meletakkan calon pada PRK Port Dickson adalah satu keputusan di luar kebiasaan parti dan disifatkan akan mempunyai kesannya tersendiri pada masa hadapan.

Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini secara peribadi tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan partinya itu untuk tidak meletakkan calon pada PRK itu 13 Oktober ini.

“Ia (tindakan tidak meletakkan calon) tidak akan berakhir di situ. Ia akan memerlukan kepimpinan parti turun padang, menjelaskan kepada ahli-ahli kita di situ (Port Dickson) tentang apa yang mereka perlu buat apabila tibanya pilihan raya.

“Ia sama ada adakah mereka perlu mengundi pembangkang (pihak lawan), adakah mereka langsung tidak perlu mengundi atau apa akan terjadi sekiranya mereka mengundi pihak lawan kerana jika itu berlaku, mereka akan dituduh mengundi lawan yang akhirnya sebabkan mereka kena tindakan tatatertib  mengikut perlembagaan parti,” katanya.

Hishammuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra Bersama Umno Tebrau di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Umno Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Setiausaha Umno Johor, Datuk Samsol Bari Jamali dan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Hishammuddin berkata, beliau percaya ahli Umno di Port Dickson mahukan kepimpinan parti yang memberikan hala tuju jelas kepada mereka, dan malah beliau juga telah menasihatkan pucuk pimpinan agar berhati-hati dengan keputusan diambil. - Bernama

Sumber SH

Lepas Keluar Umno, Ini Parti Pilihan Syed Hamid! Dah Agak Dah!

KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar mengesahkan telah menghantar borang keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas beliau keluar dari UMNO.

Syed Hamid yang dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu menghantar borang keanggotaannya kepada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Selepas menghantar borang keanggotaan tersebut, saya turut berjumpa dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.

"Saya kini sudah menjadi ahli Bersatu," katanya pada sidang akhbar selepas program bersama Jawatankuasa Khas Malaysia Mengenai Kemanusiaan di sini hari ini.

Pada 29 Jun lalu, Syed Hamid keluar UMNO dan menyatakan bahawa alasannya meninggalkan UMNO adalah kerana parti berkenaan sudah lari daripada perjuangan asal dan hanya mengutamakan kelangsungan peribadi pemimpin berbanding mengambil berat hal rakyat. - Bernama

Sumber Kosmo

Lama Berdiam, Ibrahim Ali Komen Tindakan Ahli Politik Keluar Parti!

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Dr Ibrahim Ali menyifatkan tindakan beberapa ahli politik keluar parti sejak kebelakangan ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai sesuatu yang melucukan.

Katanya, alasan pemimpin UMNO yang keluar parti semata-mata enggan menerima kerjasama UMNO dengan PAS hanyalah rekaan, malah ia tidak boleh diterima kerana kedua-duanya sudah bekerjasama sejak sebelum PRU-14 lagi.

“Jika tidak bersetuju dengan kerjasama yang dijalinkan itu, seharusnya mereka menentang dari awal, bukannya menggunakan alasan itu atau apa alasan sekalipun, selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU lalu.

“Saya geli hati dengan alasan sebegitu. Kalau saya jadi mereka, saya malu kerana saya ada harga diri,” katanya pada sidang medianya di sini, hari ini.

Minggu lalu, dua Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan parti itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam, manakala semalam pemimpin veteran UMNO, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee, turut mengikut jejak langkah sama.

Ibrahim berkata, beliau yakin terdapat beberapa pemimpin UMNO akan keluar daripada parti ini atas beberapa sebab lain, termasuk ingin mencari parti baharu.

“Kalau mereka keluar UMNO dan menyertai parti lain, saya anggap mereka sebagai lompat beruk kerana sanggup beralih arah ke parti lain selepas kekalahannya,” katanya.

Ibrahim berkata, beliau turut mendengar desas-desus ada calon terpaksa keluar daripada UMNO kerana ugutan daripada pihak tertentu.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim yang juga Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa (PUTRA), merayu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mempercepatkan kelulusan parti baharu itu.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk ROS untuk meluluskan permohonan ini bagi membolehkan saya meneruskan wadah perjuangan politik parti ini.

“Perlu saya tegaskan, PUTRA dianggotai orang biasa cuma kita perlu wadah politik untuk apa yang kita perjuangkan tetapi atas nama parti politik,” katanya.

Sumber BH

Perodua Sumbang Tabung Harapan. Terkejut Tengok Jumlahnya!

KUALA LUMPUR: Komuniti Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), merangkumi kumpulan syarikat organisasi dan kakitangannya, menyumbang RM1.1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia sebagai menyokong usaha kerajaan dalam mengurangkan jumlah hutang negara.

Pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaludin, menyampaikan sumbangan itu kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng di pejabatnya hari ini, menurut Perodua dalam satu kenyataan.

“Sumbangan ini membuktikan Perodua dan kakitangannya mahukan Malaysia yang lebih baik dan berbesar hati menunjukkan tanda sokongan kami,” kata Asmat.

Tabung Harapan Malaysia dilancarkan kerajaan Pakatan Harapan pada 30 Mei lalu untuk membantu kerajaan membayar balik jumlah hutang negara yang melebihi RM1 trilion, menurut Kementerian Kewangan.

Pelbagai organisasi, kumpulan dan individu menyumbang lebih daripada RM180 juta kepada Tabung Harapan Malaysia sehingga akhir Ogos.

“Kami memahami usaha mengurangkan jumlah hutang negara akan mengambil masa yang lama, dan kami akan menyokong kerajaan masa kini dalam usaha membaik pulih semula ekonomi negara melalui eko-sistem automotif negara,” kata Asmat.

Tahun ini, Perodua memperuntukkan RM5 bilion untuk membeli komponen kenderaan daripada pembekalnya yang kebanyakannya adalah syarikat tempatan.

Perodua juga mensasarkan penjualan 209,000 unit kenderaan tahun ini yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada pengedar bebas di seluruh negara.

Gambar Careta

-BERNAMA / Sumber BH

Surat tular adalah lampiran bukan surat rasmi

JOHOR BAHRU: Surat rasmi Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang tular kerana tidak menggunakan bahasa Malaysia sehingga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka adalah bahagian lampiran.

Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Cheo Yee How dalam satu kenyataan media yang menyatakan halaman hadapan surat berkenaan yang menggunakan kepala surat Ahli Majlis MBIP adalah dalam bahasa Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menganggap tindakan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memuat naik surat berkenaan dalam laman sosial Instagramnya sebagai provokatif.

“Berkenaan dengan surat jemputan perbincangan dari Ahli Majlis MBIP yang dituduh oleh Mohamed Khaled di laman Instagramnya dan PAS Iskandar Puteri dalam laman Facebooknya dianggap sebagai tindakan provokatif.

“Halaman surat yang disebarkan hanya halaman lampiran yang ditulis dalam bahasa Mandarin serta Inggeris.

“Pejabat ADUN Perling kesal dengan tindakan Mohamed Khaled dan PAS yang sememangnya sengaja menimbulkan keraguan di hati masyarakat berbilang kaum di dalam negara ini serta tindakan mereka itu tidak patut dicontohi oleh masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

Beliau bagaimanapun, memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan perkara berkenaan dan bertanggungjawab menjawab segala tohmahan yang dilemparkan.

“Surat jemputan perbincangan itu sebenarnya ditulis dalam bahasa Malaysia dan halaman bertulis dalam tulisan Mandarin serta Inggeris itu hanyalah sekadar lampiran daripada kepala surat yang asal iaitu surat jemputan berbahasa Malaysia.

“Perkara ini tidak menjadi masalah sekiranya kepala surat itu turut dipamerkan dan halaman lampiran itu hanya disertakan kerana kami juga mahu memanjangkan jemputan itu kepada orang awam yang bukan berbangsa Melayu di kawasan Jalan Jaya Mas dan Jalan Silat Cekak,” katanya.

Tegasnya, dalam surat yang tular, jika diteliti tidak mengandungi nombor rujukan dan tarikh berbanding surat halaman hadapan yang rasmi.

“Ini bermakna surat berkenaan hanyalah sekadar lampiran berbanding yang ditulis dalam bahasa Malaysia dan mempunyai nombor rujukan serta tarikh,” katanya.

Sumber BH

Sultan Johor murka surat rasmi tidak guna bahasa Melayu

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, murka dengan tindakan seorang Ahli Majlis Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang tidak menggunakan bahasa Malaysia dalam urusan surat rasmi MBIP.

Dalam satu kenyataan dimuat naik dalam Facebook (FB) rasminya, baginda bertitah, apa saja surat rasmi sama ada membabitkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini harus ditulis dalam bahasa Malaysia.

“Apa sahaja urusan surat menyurat membabitkan kerajaan negeri atau Ahli Majlis PBT semuanya mesti dalam bahasa Melayu kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia berkaitan pemakluman mesyuarat.

“Bila masa dalam negeri Johor surat rasmi ditulis dalam dua bahasa,” titahnya mengulas tindakan Ahli Majlis itu yang menggunakan Bahasa Cina dalam surat rasmi urusan PBT berkenaan.

Surat yang menggunakan kepala surat Ahli Majlis MBIP itu adalah bagi memaklumkan mengenai sebuah majlis dialog dengan menggunakan bahasa Cina dan bahasa Inggeris.

Ia tular dalam laman media sosial dan turut dimuat naik oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam laman sosial Instagram miliknya.

Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak harus menghormati penggunaan bahasa Malaysia dalam sebarang urusan surat rasmi berkaitan kerajaan negeri dan PBT yang sudah diguna pakai sejak dulu di Johor.

“Saya sarankan kepada Ahli Majlis, jika tidak tahu buat kerja, baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya, jangan pisang berbuah dua kali,” titahnya.

Sumber BH

Umno BN Boikot PRK. Ini Komen Padu Anwar Ibrahim...

KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bertanding mencabar beliau pada pilihan raya berkenaan.

Katanya, beliau lebih gembira jika tiada sebarang pertandingan pada PRK itu.

“Saya menyambut baik sebarang pertandingan tapi saya lebih gembira kerana UMNO tidak meletakkan calon.

“Namun, nampaknya saya kena berdepan dengan calon bebas,” katanya pada sidang media selepas memberikan Syarahan Negarawan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai tindakan BN memboikot PRK Port Dickson.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN boikot dan tidak meletakkan calon kerana pertandingan itu hanya memenuhi cita-cita politik pemimpin tertentu dan pengosongan kerusi itu tidak demokratik.

Setakat ini, seorang calon bebas menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi itu yang juga personaliti Twitter, Stevie Chan Keng Leong.

Difahamkan Parti Rakyat Malaysia juga bakal meletakkan calon mereka untuk PRK berkenaan.

Sumber BH

Boikot PRK sebab takut kalah lawan Anwar? Ini jawapan KP Umno!

KUALA LUMPUR: Keputusan Barisan Nasional (BN) memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bukan disebabkan takut kalah, sebaliknya tidak mahu membazir wang rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata lebih baik parti komponen terutama UMNO mengutamakan soal memperkukuhkan parti dalam usaha menambat semula keyakinan ahli dan rakyat.

Katanya, apa yang diputuskan semalam dalam mesyuarat bersama rakan komponen BN adalah tindakan wajar dan tepat.

“Keputusan memboikot pada saya bukan bermaksud BN takut kalah atau ingin memberi laluan mudah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Situasi ini tidak berbangkit sama sekali malah kita menghormati dan menyanjungi tinggi amalan demokrasi di negara ini.

“Bagaimanapun, secara sengaja mengadakan pilihan raya atas sebab mahu menjayakan cita-cita peribadi seseorang adalah tidak wajar sesama sekali.

“Sudah pasti PRK ini akan membabitkan penggunaan wang rakyat yang banyak dan pastinya menjadi satu pembaziran. Lebih baik ia digunakan untuk tujuan lain terutama menjaga kebajikan rakyat yang tertekan ketika ini.

“Justeru, keputusan BN memboikot dan tidak mengambil bahagian dalam PRK Port Dickson sebagaimana diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO adalah sangat wajar dan tepat sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini mengulas pengumuman Ahmad Zahid ketika sidang media di Menara Datuk Onn berhubung keputusan BN memboikot PRK Port Dickson.

Shamsul Anuar berkata, apa yang lebih penting sekarang adalah usaha meningkatkan keyakinan pemimpin dan ahli parti seluruh negara selepas BN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Baginya, usaha itu begitu penting berbanding meletakkan calon di PRK Port Dickson buat masa ini.

“Kepada ahli parti, saya harapkan kita fokuskan kepada tugas utama kita ketika ini. Perpaduan dalam kalangan pemimpin dan ahli perlu terus diperkukuhkan,” katanya.

Sumber BH

Azeez Rahim, bekas Pengerusi Tabung Haji ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Azeez, 52, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ditahan jam 11.15 pagi selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menerima rasuah.

Abangnya, Abdul Latif yang juga pengurus besar sebuah syarikat ditahan di Sungai Buloh, 15 minit selepas itu.

Sumber memberitahu BH, kedua-duanya difahamkan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek.

Sumber turut berkata, nilai rasuah yang disiasat ketika ini bernilai jutaan ringgit dan ketika ini, SPRM turut membuat siasatan dalam beberapa akaun namun nilai sebenar masih belum diketahui

Siasatan SPRM ketika ini dibuat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

SPRM pada Mei lalu pernah merampas wang tunai bernilai kira-kira RM1 juta dan barang perhiasan termasuk emas di beberapa lokasi yang mempunyai kaitan dengan Abdul Azeez.

Serbuan itu ada kaitan mengenai siasatan berkenaan satu projek seliaan TH.

Dalam serbuan itu, sepasukan pegawai SPRM menyerbu empat lokasi termasuk dua kediaman Abdul Azeez di Sunway dan Baling serta pejabat TH serta Pejabat Kelab Putera 1Malaysia, di sini.

Wang tunai Ringgit Malaysia yang dirampas dipercayai sejumlah RM500,00 dan selebihnya adalah mata wang asing bernilai kira-kira RM500,000.

Antara mata wang asing dari negara seperti Britain, Vietnam, India, Korea Utara, UAE, Mesir, Eropah, Sri Lanka, Syechelles, Somalia, Myanmar, Afrika, Pakistan dan Qatar.

Sumber BH

Timbalan Menteri buat laporan polis nafi dakwaan jalin hubungan sulit

KOTA KINABALU - Seorang timbalan menteri persekutuan membuat laporan polis untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat penulis sebuah blog yang mendakwa berlaku hubungan sulit antara Ahli Parlimen Kota Belud itu dengan pegawai khas beliau.

Isnaraissah Munirah Majilis, Timbalan Menteri Tenaga,Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, membuat laporan polis itu semalam di Subang Jaya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan terhadapnya seperti yang terkandung dalam catatan penulis blog itu pada Sabtu lepas.

"Saya membuat laporan ini untuk membersihkan nama saya dan keluarga. Saya juga  mahu penulis portal ini disiasat," jelas beliau.

Munirah, yang juga Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), mendapat tahu tentang artikel itu menerusi pautan yang dihantar kepadanya oleh seorang kawan melalui aplikasi WhatsApp.

Mengenai akaun Facebook beliau, Ahli Parlimen itu menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang hubungan sulit seperti yang didakwa oleh penulis blog itu.

"Artikel oleh penulis blog itu berniat jahat dengan tujuan merosakkan nama baik saya sebagai seorang wakil rakyat," katanya. - Bernama

Sumber Kosmo

UMNO, BN boikot PRK Port Dickson. Terkejut Bila Zahid Dedah Sebabnya!

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu dan Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober depan.

Ahmad Zahid berkata, keputusan untuk tidak menghantar wakil pada PRK tersebut dibuat oleh BN kerana pengosongan kerusi Parlimen itu dibuat hanya untuk memenuhi kehendak politik individu tertentu.
"Setelah mengadakan mesyuarat khas dan perbincangan dilakukan oleh Biro Politik UMNO bersama komponen MCA dan MIC, BN mengambil keputusan untuk tidak menghantar calon dan memboikot PRK Port Dickson.

"BN berpandangan bahawa pengosongan kerusi Port Dickson itu dilakukan hanya untuk memenuhi cita-cita politik individu tertentu dan bukan dibuat atas prinsip demokrasi seperti berlaku kematian.

"Keputusan itu adalah muktamad memandangkan kerajaan ketika ini berhadapan dengan masalah kewangan. Kos perbelanjaan sebanyak RM3.6 juta yang diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya boleh digunakan untuk rakyat," katanya pada sidang akhbar di Menara Dato Onn di sini 

Sumber - K! ONLINE

Najib pelik tsunami Cina dikecam tak seperti Kit Siang

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berasa pelik apabila frasa tsunami Cina digunakannya selepas PRU13 dikecam sesuatu yang melampau, tidak patut dan sangat rasis olehAhli Jawatankuasa Tertinggi DAP, Lim Kit Siang.

Najib berkata, beliau sering dituduh oleh propagandis DAP bahawa beliau pernah mengeluarkan perkataan 'Apa lagi Cina mau' selepas PRU13 dan mendapat kecaman bertahun-tahun lamanya.

Menurutnya, frasa tsunami Cina diulangi oleh pemimpin-pemimpin DAP di dalam ceramah-ceramah dan laman media sosial mereka untuk mengasut dan menaikkan kemarahan kaum Cina walaupun beliau tidak pernah keluarkan kenyataan ini sama sekali.

“Yang saya sebenarnya pernah cakap ialah menggunakan frasa tsunami Cina untuk PRU13… tetapi Kit Siang dan pemimpin-pemimpin DAP lain pun tidak suka ini. Kit Siang kata penggunaan tsunami Cina oleh saya ini adalah sesuatu yang melampau, tidak patut dan sangat rasis.

“Tetapi selepas itu, pemimpin-pemimpin DAP termasuk Kit Siang berulangkali menggunakan frasa tsunami Melayu di dalam ceramah-ceramah dan kenyataan-kenyataan mereka,” katanya melalui perkongsiannya di laman sosial Facebook peribadinya, malam tadi.

Najib berkata, beliau masih pelik mengapa bila beliau menggunakan frasa tsunami Cina sekali sahaja ia disifatkan oleh DAP bahawa beliau melampau, tidak patut dan rasis  tetapi apabila Kit Siang dan pemimpin-pemimpin DAP lain berulang-kali menggunakan frasa tsunami Melayu, mereka tidak pula dianggap sebagai melampau, tidak patut dan rasis.

“Pelik bukan? Soal Najib diakhir perkongsiannya itu.

Perkongsian bekas perdana menteri itu kali ini adalah susulan jangkaannya selepas beliau mengemukakan soalan-soalan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terbukti ada kebenarannya.

“Selepas diam untuk beberapa hari Kit Siang tiba-tiba muncul hari ini untuk membuat kenyataan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan saya untuk mengalih perhatian,” katanya.

Menurutnya, dua minggu lalu, beliau membuktikan bahawa Kit Siang bukan seorang yang jujur di mana cabaran beliau untuk Kit Siang mengaku bahawa beliau sudah mengembalikan semua wang yang dikenali sebagai RM2.6 bilion di jawab dengan jawapan yang berputarbelit kerana dia tidak mahu mengaku.

“Lain ditanya, lain pula dijawab. Hari ini, saya dedahkan lagi permainan politik tidak jujur dan menghasut Kit Siang dan DAP,” katanya dengan merujuk kepada frasa tsunami Cina selepas PRU13.

Sumber SH

Lantik Najib jadi ketua umum? Ini respons mengejutkan Annuar Musa!

KUALA LUMPUR: UMNO menolak cadangan untuk melantik bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak, sebagai Ketua Umum parti itu.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, berkata cadangan itu tidak relevan dan bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Cadangan itu tidak boleh dilaksanakan, tidak relevan dan tidak terdapat dalam perlembagaan parti,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan pemimpin Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Menara Dato Onn, hari ini.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, mencadangkan Najib dilantik sebagai Ketua Umum UMNO serta merta.

Jamal berkata, menerusi jawatan itu yang turut ada dalam PKR, Najib mungkin mempunyai kaedah untuk membela parti secara lebih berkesan.

Sementara itu, Annuar berkata UMNO akan melakukan proses pemutihan keahliannya selepas Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu ini berakhir.

Katanya, ia bertujuan membersihkan UMNO daripada senarai ahli yang meragukan susulan perubahan landskap politik negara ketika ini.

“Pemutihan ahli ini perlu kerana berlaku perubahan dinamik keahlian UMNO dan terdapat ahli yang meragukan.

“Kali terakhir pemutihan dilakukan beberapa tahun lalu. Kita dapati banyak senarai ahli yang sudah meninggal dunia dan berhijrah ke parti lain.

“Program pemutihan akan dilakukan sebaik perhimpunan agung parti selesai. Ibu pejabat UMNO akan mengeluarkan garis panduan bagaimana kaedah dan proses pemutihan dilakukan .

“Ada tiga bulan untuk kita memurnikan senarai ahli kita yang berjumlah 3.6 juta ketika ini,” katanya.

Sumber BH

Syed Ali Alhabshee pula keluar Umno, terkejut tahu sebabnya...

Lepas satu, satu.

Hari ini Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee pula mengumumkan keluar Umno sebentar tadi.

Bekas setiausaha Umno Wilayah Persekutuan itu dilapor mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Cheras hari ini.

Beliau memberi alasan “demi menjaga survival orang Melayu di Wilayah Persekutuan”.

Kelmarin beliau dilihat hadir dalam sambutan ulang tahun ketiga Parti Amanah Negara (AMANAH) di Temerloh.

Syed Ali terkenal sebagai seorang pemimpin Umno yang lantang dan terkedepan mengkritik Pakatan Harapan sebelum ini.

Tindakan drastik itu Syed Ali itu dibuat selepas enam anggota parlimen Umno berbuat demikian selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Minggu lepas veteran Umno Datuk Mustapa Mohamed dan bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman terlepas dahulu meninggalkan parti itu.

Umno kali pertama hilang penguasaan 61 tahun di peringkat persekutuan di tangan HARAPAN dan sekutunya dalam pilihan raya umum lepas.

Sumber MK

Hina Tun M: Ini Tindakan BERSATU Negeri Sembilan!

Hina Tun M: Ini Tindakan BERSATU Negeri Sembilan!

SEREMBAN - Parti Bersatu Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pemilik akaun laman sosial memaki Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri Eddin Syazlee Shith berkata laporan polis dibuat kerana kenyataan pemilik akaun berkenan yang bersifat tohmahan dan provokasi terhadap Dr Mahathir dilihat jelas dapat mendatangkan ancaman keselamatan terhadap Perdana Mentari.

"Perbuatan beliau juga jelas bersifat perkauman boleh menggugat integrasi nasional dan secara langsung ianya dibuat untuk menjejaskan perpaduan yang ada bagi masyarakat berbilang kaum di negara kita.

"Kami minta supaya perbuatan ini disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan di bawah mana-mana peruntukan yang bersesuaian, dan kami minta dia dipanggil untuk memperjelaskan serta bertanggungjawab atas perbuatannya, " katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2 yang turut disertai 50 ahli parti tersebut di sini, malam ini.

Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia membuat laporan polis selepas pemilik akaun laman sosial itu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Dr Mahathir. - Bernama

Sumber SH

Isu PTPTN. Najib Akhirnya Bersuara! Memang WIN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak sepatutnya memarahi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana tidak melangsaikan hutang.

Pada masa sama, Bekas Perdana Menteri menasihatkan peminjam supaya membayar hutang pendidikan masing-masing mengikut kemampuan kerana akibat langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang populis dan tidak bijak, kerajaan sedang mengalami tekanan fiskal yang teruk.

Beliau berkata peminjam PTPTN sudah dihasut selama 10 tahun oleh Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membayar balik pinjaman, namun kini sering pula peminjam dimarahi dan dilabel sebagai tidak amanah.

“Mereka tidak sepatutnya dimarah sebagai tidak amanah, memalukan bangsa sendiri dan kini dimarah supaya mengabaikan janji manifesto PH.

“Peminjam PTPTN hanya mahu menuntut PH untuk tunaikan janji mereka.

“Sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.

“Kerajaan sudah kehilangan hasil sebanyak RM40 bilion setiap tahun selepas pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), melaksanakan semula subsidi pukal dan mengalami ketirisan dalam pengutipan cukai korporat dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan meminta pihak tertentu terutamanya pembangkang supaya tidak mengaitkan isu hutang PTPTN dengan manifesto PH ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata setiap peminjam perlu berusaha untuk melunaskan hutang berkenaan kerana ia dituntut di dalam Islam.

Sumber BH

Najib kemuka 17 soalan khas di Facebook buat Guan Eng

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan 17 soalan khas buat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk membantu menteri berkenaan dan orang awam memahami fakta dan kebenaran.

Najib melalui catatan di Facebook peribadinya itu berkata, Guan Eng masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikannya tentang hal ehwal ekonomi negara.

“Oleh itu, saya kemukakan 17 soalan untuk bantu beliau dan orang awam memahami fakta dan kebenaran mengapa beliau tiba-tiba mahu menuding jari kepada saya,” katanya, malam tadi.

Berikut merupakan soalan kepada Guan Eng.

1. Adakah benar kerajaan hilang RM30 bilion atau lebih bagi pendapatan tahun ini berikutan sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) selama 3 bulan serta pengenalan semula subsidi menyeluruh selepas PRU14?

2. Adakah benar tuntutan cukai input GST melonjak selepas GST disifarkan pada Jun 2018?

3. Adakah benar Malaysa adalah satu-satunya negara dalam sejarah dunia yang menghapuskan GST dan kembali kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pada ketika lebih banyak negara beralih kepada GST bagi meningkatkan daya saing negara mereka?

Adakah benar juga bahawa ada barang yang naik harga selepas SST dilaksanakan?

4. Adakah benar harga petrol di Malaysia pada masa ini adalah lebih rendah dari Arab Saudi yang mengeluarkan 20 kali ganda minyak sehari berbanding Malaysia dan lebih rendah dari negara Teluk?

5. Adakah benar sejak PRU14, pelaburan terus asing (FDI) bagi suku kedua 2018 jatuh kepada RM2.84 bilion (iaitu pelaburan paling rendah sejak 2008) daripada RM11.98 bilion berbanding suku pertama dan RM8.66 bilion bagi tahun sebelumnya, pertumbuhan KDNK pada 4.5 peratus bagi suku kedua 2018 adalah di bawah unjuran, Ringgit menyusut sebanyak 30 sen berbanding Dolar Amerika, berpuluh bilion ringgit pelaburan saham dan modal keluar dari Malaysia manakala Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) menyusut dari AS$110 bilion setiap bulan kepada AS$103.9 bilion sehingga 15 September 2018. 

6. Adakah benar tekanan utama terhadap kewangan negara tahun depan ialah kehilangan pendapatan RM40 bilion setahun berikutan penghapusan GST dan peningkatan subsidi pukal?

7. Adakah benar pembatalan dan penangguhan pelbagai projek turut menyebabkan kehilangan pekerjaan baru dan sedia ada selain penyusutan pertumbuhan ekonomi menyebabkan ahli ekonomi menjangkakan negara akan terjerumus ke dalam kemelesetan tidak lama lagi?

8. Adakah benar disebalik dakwaan PH Malaysia akan bankrap selama 10 tahun sebelum ini dan kononnya kerajaan terdahulu tidak pandai mengurus ekonomi, BN secara konsisten berjaya mengurangkan defisit bajet setiap tahun, meningkatkan BR1M, meningkatkan gaji kakitangan awam dan gaji minimum serta mengekalkan pertumbuhan KDNK antara tertinggi di dunia termasuk mengatasi Singapura sejak 2011 manakala eksport meningkat setiap tahun?

Adakah sebab inilah mengapa Guan Eng pada minggu lalu berkata ekonomi Malaysia masih kukuh dengan menyatakan lapan faktor kepada kenyataan itu.

9. Adakah benar dengan menyalahkan saya dan kerajaan lalu adalah alasan paling mudah untuk digunakan sebagai ‘keputusan sukar’ bagi bajet akan datang di mana dijangkakan bantuan untuk rakyat akan dihentikan, pinjaman kerajaan akan meningkat dan unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah biarpun ia sebenarnya adalah akibat polisi, perancangan teruk dan salahtadbir anda sendiri yang menjadi penyebabnya?

10. Adakah benar, sebagaimana pernah saya jelaskan dua kali sebelum ini, adalah mustahil wang disatukan kerajaaan hanya berbaki RM450 juta pada hujung April 2018 kerana sentiasa terdapat "buffer" dua bulan sebagai penampan bayaran gaji dan pencen sekitar RM8 bilion sebulan dan saya pernah tanya dua kali kepada Guan Eng untuk beri jawapan pada jadual di bawah untuk tunjukkan kepada rakyat bagaimana ia berlaku namun tidak pernah dijawab?

11. Adakah benar jika dakwaan anda benar sekalipun kononnya ia hanya berbaki RM450 juta pada hujung April 2018, anda mempunyai akses kepada akaun kerajaan dan dengan mudah untuk mendapatkan jawapan ke mana wang itu dibelanjakan? Kenapa tanya saya pula?

12. Adakah benar disebalik anda mendakwa lebih 1.5 juta orang akan terkesan dari tuntutan LHDN yang tidak dikembalikan, tiada seorang pun ahli parlimen PH pernah menyuarakan isu ini sepanjang 10 tahun lalu dan tak pernah menjadi masalah namun tiba-tiba ia menjadi masalah?

13. Adakah benar, anda hanya mengetahui kononnya terdapat kelompongan RM35 bilion bagi tuntutan GST dan LHDN selepas 3 bulan anda menjadi menteri kewangan dan secara kebetulan selepas anda mengetahui terdapat lonjakan tinggi bagi tuntutan input GST selepas GST sifar pada Jun 2018.

14. Adakah benar, saya sudah bertanya berulangkali kepada anda untuk memulakan RCI terhadap ‘kehilangan RM35 bilion’ ini berikutan jumlahnya yang besar namun anda tidak berani beri jawapan?

15. Adakah benar liabiliti kontijensi dilaporkan secara telus setiap tahun termasuk dibawah akaun BNM dan ia sekaligus buktikan bahawa kerajaan lalu tak pernah sembunyikan sebarang hutang atau liabiliti kontijensi?

16. Jika benar hutang negara adalah RM1 trilion sebagaimana dakwaan anda dan kita berada di pinggir krisis kewangan, mengapa kesemua agensi penarafan kewangan antarabangsa, IMF dan Bank Dunia berikan kita penarafan A?

Bolehlah Guan Eng menyatakan secara terbuka bahawa agensi penarafan kewangan antarabangsa itu semua serta IMF dan Bank Dunia tidak kompeten atau bersengkongkol dengan kerajaan lalu untuk menipu dunia?

17. Guan Eng juga menyebut dalam kenyataannya hari ini bahawa tiada kaitan antara harga minyak dan nilai Ringgit disebalik pelbagai kajian dan analisa menyatakan sebaliknya. Mungkin Guan Eng terlalu malas untuk membaca, mungkin dia boleh rujuk kepada carta di bawah (saya lukis kerana mungkin dia malas baca)?

Dalam pada itu Najib berkata, banyak lagi rujukkan yang boleh dicari beliau jika Guan Eng benar-benar mahu menambah pengetahuan mengenai hubungan nilai Ringgit dengan harga minyak.

“Saya tahu Guan Eng tidak akan berani atau jujur untuk menjawab semua soalan-soalan di atas ini tetapi saya tetap mahu kemukakan agar rakyat faham,” katanya.

Najib turut menyindir soalan-soalan yang dikemukakannya ini mungkin mengundang lebih banyak kenyataan akhbar lagi oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP, Lim Kit Siang dengan tujuan untuk memarahinya.

“Tidak dapat dinafikan bahawa Guan Eng adalah ahli politik yang berbakat, terutama dalam memutarbelit dan gemar menyalahkan orang lain dalam menyakinkan penyokongnya, tetapi ini adalah ekonomi sebenar yang berlandaskan kepada fakta angka sebenar dan akan memberi kesan kepada kehidupan 31 juta rakyat Malaysia selain masa depan negara ini.

“Tiada sekelumit putarbelit pun akan membantu anda jika pengurusan serta polisi anda teruk,” katanya.

Sumber SH